mutakhir

Dituduh bunuh 2 rakan setugas

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SEORANG pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas pertuduhan membunuh dua rakan setugasnya di sebuah pusat penyembelihan ayam di Kampung Kuantan, Klang, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Ferdaus Suwardi, 30, yang memakai baju lokap jingga mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ferdaus didakwa membunuh dua bersaudara iaitu Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan Wan Amir Abu Hassan, 48.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan di sini, antara jam 6.30 pagi hingga 9 pagi, 31 Julai lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada jaminan ditawarkan.

Nor Asma menetapkan sebutan semula kes pada 4 Oktober depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan hayat dua bersaudara itu berakhir dalam keadaan kejam apabila mereka ditetak sehingga mati.

Lebih memilukan, mayat mereka ditemui dalam sebuah bilik tidur kecil yang dikunci dari luar, semalam dan dipercayai dibunuh sejak dua hari sebelum itu.

Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan tetakan di seluruh badan serta tilam tempat tidur mereka berlumuran darah.

Misteri kehilangan mereka hanya disedari jam 1 tengah hari 3 Ogos lalu apabila anak pemilik pusat penyembelihan itu membuka pintu bilik selepas seorang wanita warga emas yang tinggal bersebelahan mendakwa terhidu bau busuk.

Sehari kemudian, seorang lelaki ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak jam 1 pagi selepas dimasukkan ke wad hospital itu untuk rawatan dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 12:53pm
d