mutakhir

Berkayak 21km simbolik cintakan negara

Oleh Hafizudin Mohd Safar

TUJUH puluh ahli kadet Pasukan Institusi Pertahanan Awam Malaysia (PISPA) berkayak sejauh 21 kilometer dari sungai di Kampung Sena hingga muara Kuala Sungai Baru di Arau sempena bulan kemerdekaan, hari ini.

Majlis pelepasan program Kayak Merdeka Kem Patriotisme 1Malaysia 2017 itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Guar Sanji, Jafperi Othman.

Beliau yang juga bekas seorang guru berkata, generasi kini harus bersyukur dan mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati hasil usaha serta perpaduan kaum generasi terdahulu dan bukan diperoleh dengan cara mudah.

Katanya, perpaduan yang ditunjukkan semua peserta pelbagai kaum yang juga pelajar Tingkatan Enam dari 30 sekolah menengah di Perlis amat mengagumkan sekali gus menyuntik perasaan cintakan negara.

"Kemerdekaan diperoleh dengan perpaduan, justeru program seperti ini yang menggabungkan penyertaan pelbagai kaum adalah landasan yang tepat menyemai perasaan sehati dan sejiwa dalam isu membabitkan semangat kebangsaan.

"Seharusnya semangat kebangsaan dipertahan oleh generasi muda iaitu peserta proram yang suatu hari nanti bakal menjadi barisan kepimpinan negara," katanya ketika ditemui.

Ekspedisi berkayak terbabit diketuai Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs), Azran Mohamad serta membabitkan 30 jurulatih kalangan guru, petugas Pusat Kokurikulum Timah Tasoh dan pegawai serta anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 3:38pm
d