mutakhir

Hasil tangkapan nelayanlah...

Oleh Mary Victoria Dass

KISAH berkaitan kejadian ribuan ikan gelama tiba-tiba timbul di Pantai Telok Mahkota di Tanjung Sedili, Mersing di sini yang tular di laman sosial adalah palsu kerana ia rekaan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Kampung Tanjung Sedili Ibrahim Yahaya berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan sesetengah pihak menyebarkan kisah palsu itu termasuk kononnya petanda Tsunami.

"Gambar itu dirakam kelmarin. Ribuan ikan gelama berkenaan bukan timbul sendiri sebaliknya ia adalah rezeki nelayan yang memukat dan ia ditinggalkan di Pantai Telok Mahkota.

"Ia adalah sisa-sisa daripada tangkapan nelayan dan mereka meninggalkan anak ikan dan ikan bersaiz kecil kerana ia mungkin tidak boleh dikomersialkan.

"Oleh itu, penduduk kampung yang terlihat ikan yang terdampar membawanya pulang," katanya

Ibrahim berkata, sejak kisah berkenaan tular di laman sosial, dia dan penduduk kampung menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat luar.

"Saya sudah tinggal di sini berpuluh-puluh tahun tidak pernah jumpa kejadian ikan naik sendiri ke darat," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 4:42pm
d