mutakhir

[UPDATE] Tebuk dinding, peti besi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham

TIGA penjenayah bertopeng menebuk dua peti besi mengandungi pelbagai barangan kemas yang dianggarkan RM800,000 dalam kejadian rompakan di Kemaman Centre Point, Chukai pagi ini.

Suspek yang bersenjatakan parang dipercayai memasuki kompleks berkenaan pada 1.27 pagi sebelum mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai menebuk dinding kedai pakaian yang terletak di sebelah kedai emas pertama sebelum memecahkan peti keselamatan milik dua kedai emas berkenaan.

"Kedua-dua peti keselamatan itu terletak berhampiran dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan keranamelakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Said turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya suspek bersembunyi dalam bangunan itu bersama tebusan.

"Viral (tular) itu tak betul. Sebab dapat maklumat itu jugalah saya bersama pegawai dan anggota masuk melakukan pemeriksaan dan siasatan memakai baju kalis peluru tadi.

"Rupanya maklumat itu mengenai anggota RELA yang diikat tapi anggota RELA terbabit melarikan diri dan hubungi polis lepas berjaya leraikan ikatan tangan," katanya.

Berita berkaitan:

Penyamun sembunyi dalam kompleks

Centrepoint Kemaman dibuka semula

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 6:55pm
d