mutakhir

Wanita warga emas maut

Oleh Azlan Hafeedz

WANITA warga emas berusia 67 tahun maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan pacuan empat roda di depan Balai Polis Bukit Yong di Kilometer 50, Jalan Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Pasir Puteh tengah hari semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, Rodziah Daud, 67, dari Kampung Jeram meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan.

Mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Suaminya, Mat Hussin Yaacob, 70 dan anaknya, Norhayati Mat Hussin, 50, pula cedera sebelum dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut manakala pemandu pacuan empat roda, Mahabat Khan Ibat Khan, 70, dari Jerteh, Terengganu tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki tiga beranak dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu itu membuat pusingan U.

Katanya, berikutan itu, kereta yang dipandu Mat Hussin dilanggar pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran kuat itu, Rodziah yang berada di sebelah pemandu maut di tempat kejadian manakala Mat Hussin dan Norhayati dikejarkan ke hospital.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil ke depan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari sebelum lapan anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

"Rodziah berjaya dikeluarkan daripada kenderaan dinaikinya yang remuk teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 12:37am
d