mutakhir

7 bulan aje hidup mewah

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Seorang penganggur hidup mewah dengan menyewa sebuah rumah teres dua tingkat hasil kegiatan jualan dadah ganja yang dilakukan sejak tujuh bulan lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sendirian termasuk membeli, menjual serta memproses dadah berkenaan.

Bagaimanapun, kegiatan haram itu dihidu polis sebelum sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menyerbu rumahnya di Bandar Baru Bangi itu Jumaat lalu.

Serbuan jam 8 malam itu menemui 132 kilogram (kg) ganja yang disimpan di dalam beberapa kotak besar.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, nilai rampasan ganja itu dianggarkan RM396,000 dan ia adalah untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek aktif sejak awal tahun ini dengan mendapat bekalan daripada beberapa sindiket pengedaran dadah dari dalam dan luar negara.

Mazlan berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek direman dari 12 Ogos sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan kira-kira 13,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 5:30am
d