mutakhir

Rumah murah 5 peratus

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi pembinaan projek perumahan di seluruh negara sepenuhnya dijangka mampu mengurangkan harga rumah di pasaran kira-kira lima peratus berbanding menggunakan kaedah konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, sekiranya kilang IBS diwujudkan bagi mengeluarkan komponen, permintaan menjadi tinggi, sekali gus ia membantu menurunkan harga rumah.

“Perkara ini bergantung kepada permintaan dan apa yang jadi sekarang ialah kapasiti pengeluaran berada pada tahap 50 hingga 60 peratus mengikut kajian.

“Jika ada permintaan dan kami mewajibkan penggunaan IBS, kilang akan mengeluarkan lebih banyak IBS, malah akan ada banyak kilang baru,” katanya pada lawatan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di kilang IBS Gamuda, di sini, semalam.

Beliau berkata, IBS dicadangkan diwajibkan penggunaannya menjelang tiga tahun akan datang atau 2020, malah ia dipersetujui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami memberi tempoh kepada pihak industri mengubah kaedah konvensional kepada IBS, tetapi pada masa ini, kami memberi tumpuan kepada inisiatif mewujudkan ekosistem bagi membolehkan kami mewajibkan IBS,” katanya.

Dari segi pencapaian penggunaan IBS, beliau berkata, projek kerajaan skor minimum 70 peratus penggunaan IBS ditetapkan bagi projek bernilai RM10 juta.

Katanya, untuk swasta, kaji selidik dijalankan tiga tahun lalu menunjukkan tahap penggunaan IBS hanya 15 peratus, namun kajian sedang dibuat bagi melihat data terkini.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 5:32am
d