mutakhir

Rebah di kaunter

Oleh Hayati Ibrahim dan Nur Syahirah Marzuki

Putrajaya: “Arwah ayah sempat mengucapkan Allahuakbar sebelum tidak sedarkan diri ketika mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran hospital awal pagi semalam (kelmarin),” kata Nur Izyan Anisah Abd Rahim, 22 tahun.

Nur Izyan Anisah adalah anak bongsu Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abd Rahim Ishak, 55, yang meninggal dunia jam 3.20 pagi semalam selepas mengadu sakit ulu hati.

Katanya, sebaik pulang dari surau jam 10 malam kelmarin, Allahyarham mengadu sakit ulu hati kepada ibunya, Datin Noorlida Bahar, 57.

“Emak mengurut dada ayah dan memberi minum air panas namun arwah maklum masih sakit dan tidak boleh tidur sebelum meminta emak menghantarnya ke hospital.

“Ketika tiba di hospital arwah gagahkan diri ke kaunter mendaftarkan diri sebelum tidak sedarkan secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.20 pagi,” katanya.

Nur Izyan Anisah berkata, Allahyarham tidak mempunyai penyakit kritikal kecuali kolesterol dan darah tinggi.

“Pemergian arwah ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga dan rakan lain kerana tiada perubahan yang ditunjukkan malah arwah ayah kelihatan sihat.

“Malah, saya dimaklumkan arwah sempat bergurau seperti biasa dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Mohammad Mentek sebelum menghadiri majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Dengkil semalam (kelmarin),” katanya.

Allahyarham Abd Rahim meninggal dunia di Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan dan jenazah dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Jenazah dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Hospital Serdang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor sebelum solat Zuhur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak perempuan.

Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara berkuatkuasa 16 Jun 2016.

Allahyarham sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri selain pernah menjadi Pengarah Bahagian Awam, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ( ESSCOM).

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan kepada negara dan jasa beliau dalam perkhidmatan awam akan sentiasa dikenang.

“Sepanjang perkhidmatan Abd Rahim di KPKT, beliau adalah pegawai yang cekap dan berdedikasi dalam melaksanakan Dasar Perumahan Negara.

“Berita pemergian Allahyarham sangat mengejutkan seluruh warga kementerian. Saya dan seluruh warga KPKT merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,”katanya.

Noh bersama-sama Timbalan Menteri Datuk Halimah Mohamed Sadique, Mohammad Mentek dan pegawai kementerian meluangkan masa menziarahi jenazah dan menyertai upacara pengebumian.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 5:42am
d