mutakhir

Ikut selera Malaysia

Oleh HM Digital

Makkah: Keselamatan dan kualiti makanan dibekalkan kepada jemaah menjadi aspek yang begitu diberikan perhatian Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Katering 1438 Hijrah Adly Mohamed berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap makanan dibekalkan syarikat katering dilantik.

Beliau berkata, di Makkah, pihaknya melantik lapan syarikat membekalkan makanan kepada 24 Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH).

Menurutnya, di Madinah, TH melalui anak syarikatnya, TH Global Services Sdn Bhd melantik empat syarikat untuk membekalkan makanan di 10 BPJH.

Katanya, bagi memastikan makanan dibekalkan menepati cita rasa Malaysia, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) untuk membekalkan rempah-ratus pracampur.

“Bekalan bahan mentah seperti daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran disediakan syarikat katering dilantik.

“Bagaimanapun, kami tetap memantau pemilihan bahan mentah digunakan supaya mematuhi piawaian ditetapkan TH.

“Misalnya, daging dibekalkan perlu memenuhi berat minimum sebelum dan selepas dimasak,” katanya ketika ditemui di dapur Al-Wafa Catering & Services, satu daripada syarikat dilantik.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Global Services berkata, pihaknya turut mengutamakan rupa, rasa dan warna makanan dibekalkan.

“Walaupun sukar memenuhi selera dan cita rasa setiap orang, tetapi dua aspek itu iaitu keselamatan dan kualiti tidak dikompromi,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan makanan disediakan, semua pekerja termasuk chef sehingga pemandu wajib memiliki sijil pengesahan kesihatan.

Katanya, pekerja yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tiada sijil pengesahan kesihatan dan suntikan wajib tidak dibenarkan bekerja.

“Bahagian audit dalam TH serta doktor dari Kementerian Kesihatan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, setiap pek makanan dibekalkan kepada jemaah perlu dimakan dalam tempoh dua jam selepas diberikan bagi menjamin ketahanannya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 5:52am
d