mutakhir

Cef bawa sakit

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Upah cef berpenyakit yang dibimbangi menyebarkan virus berbahaya. Itu antara tindakan segelintir pemilik restoran yang menggaji tukang masak dalam kalangan pendatang haram tanpa melalui pemeriksaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kehadiran tukang masak warga asing yang berkhidmat di beberapa restoran di ibu negara itu dibongkar hasil operasi khas dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Berdasarkan kenyataan KKM sebelum ini, penyakit Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering, selesema (Influenza A H1N1 atau H5N1), malaria, HIV/AIDS, hepatitis, polio dan banyak lagi jangkitan virus disebarkan pendatang asing.

Selain penyakit yang sudah lama terkawal, beberapa penyakit yang jarang ditemui atau belum pernah ditemui di negara ini juga mungkin ada kaitan dengan kemasukan pendatang asing.

Pihak JIM yang memandang serius perkara itu bertindak melakukan dua serbuan di premis makanan dan pusat hiburan
di sekitar Cheras dan Bandar Manjalara, Kepong, bermula pada jam 8 malam kelmarin.

Dalam operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi, JIM Kuala Lumpur, Mohd Abdul Fared Abdul Rahman bersama dua pegawai dan 23 anggota, hampir 50 peratus tukang masak, penyedia minuman dan pekerja ruang dapur dikesan adalah warga asing yang bekerja tanpa permit kerja sah.

Seramai 18 warga asing ditahan merangkumi lima Bangladesh, enam Myanmar, tiga India dan masing-masing seorang Thailand, Indonesia, Pakistan dan Nepal.

Daripada jumlah berkenaan, seorang daripadanya bekerja sebagai tukang masak, seorang penyedia minuman, empat pembantu restoran yang kadang kala bertugas sebagai tukang masak sementara, tiga penyedia minuman keras dan tujuh pelayan restoran.

Difahamkan semua yang ditahan tidak pernah mengambil suntikan vaksin daripada pihak KKM dan mempunyai sejarah pelbagai penyakit sebelum ini.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 6:05am
d