mutakhir

Kereta 'terjun' tingkat empat

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Bentong: “Ketika tidur, saya dikejutkan bunyi dentuman kuat seperti bom meletup sebelum melihat kereta Perodua Axia terjunam dari tingkat empat,” kata ahli perniagaan, Lee Chung Meng, 40, seorang daripada pengunjung yang menginap di sebuah hotel di Genting Highlands, di sini, selepas menyedari kemalangan menyebabkan dua terbunuh, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi, mangsa yang juga pemandu, V Palanisamy, 50, berasal dari Sepang, Selangor bersama rakannya seorang wanita, Ming Sanmao, 43, pelancong dari China meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Menceritakan kejadian itu, Lee berkata, dia bersama keluarga yang pulang daripada aktiviti beriadah di pusat peranginan berkenaan tidur kerana kepenatan jam 3 pagi.

Pada mulanya dia menyangka bom meletup kerana terlalu kuat menyebabkan pengunjung lain yang menginap di hotel sama terjaga dan keluar untuk melihat apa berlaku.

Katanya, dalam keadaan samar dia mendapati kereta Perodua Axia terbalik dengan kempat-empat tayar ke atas.

“Saya lihat ada dua individu dalam kenderaan itu namun tidak berani menghampirinya kerana takut, beberapa orang awam turut menghampiri kenderaan berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

“Ia sungguh dahsyat dan mujur kenderaan itu tidak terbakar,” katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai hendak turun dari parkir tingkat empat di resort berkenaan.

“Ketika memandu Palanisamy dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang dan terjunam ke Taman Mini Genting Highlands Resort,” katanya dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, kereta dinaiki mangsa terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas selepas terjunam dari ketinggian 13 meter dan mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan turut mendapati lokasi kejadian adalah kawasan parkir kenderaan di Genting Highlands Resort dan jalan satu lorong lurus membelok ke kanan.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bentong, di sini, untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 6:11am
d