mutakhir

Wayang pacak semarak perpaduan

Oleh HM Digital

Seremban: Bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang akan menganjurkan Wayang Pacak di Ambang Kemerdekaan 2017 di Padang Permainan Taman Indah, di sini, esok.

Ketua MCA Bahagian Seremban, Siow Koi Voon berkata, pihaknya akan mempertontonkan tayangan filem Ola Bola bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotik antara semua kaum.

Katanya, masyarakat Melayu, Cina dan India dijemput hadir dan pihaknya turut menyediakan makanan ringan serta minuman.

“Majlis bermula 9 malam akan menyaksikan semua pengunjung duduk bersama dan menonton filem Ola Bola. Pihak penganjur meminta orang ramai yang datang supaya membawa alas duduk,” katanya.

Siow berkata, aktiviti cabutan bertuah juga diadakan bagi menyerikan lagi majlis berkenaan.

Katanya, beliau mengharapkan masyarakat semua kaum dapat duduk bersama, bergembira dan beramah mesra tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan politik.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 6:30am
d