mutakhir

Bah lagi!

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Hujan lebat lebih empat jam sejak jam 6 pagi semalam, memburukkan lagi situasi banjir di daerah ini apabila beberapa kawasan di Kampung Tehel, di sini, terus digenangi air.

Terdahulu, kampung berkenaan digenangi air sejak Jumaat lalu.

Berikutan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel yang dibuka sejak 11 Ogos lalu terus beroperasi dan kini menjadi tempat berlindung 102 mangsa daripada 25 keluarga.

Mangsa banjir yang juga pengusaha kedai runcit, Rashidi Lamin, 35, berkata, premisnya sudah tiga kali dimasuki air dalam tempoh seminggu akibat banjir yang berulang.

“Sehingga hari ini (semalam), saya masih tak boleh berniaga. Memang air surut tetapi ketika mahu memulakan operasi kedai, banjir melanda.

“Jika terus berniaga, pasti perniagaan terjejas kerana ramai penduduk kampung masih berada di PPS,” katanya.

Menurut Rashidi, berikutan cuaca cerah kelmarin, dia bersama isteri membersihkan kedai mereka yang dipenuhi lumpur.

Namun hujan lebat pagi semalam menyebabkan kedainya digenangi air sedalam kira-kira 0.3 meter.

“Pelbagai barangan seperti peti sejuk, meja dan kelengkapan kedai rosak kerana terendam dalam air banjir.

“Saya harap pihak berkaitan ambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu banjir yang membelenggu penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga jam 6 petang semalam, 265 mangsa daripada 65 keluarga masih berada di PPS di seluruh negeri.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 6:31am
d