mutakhir

Penyamaran pencuri ikan kita gagal

Oleh Rosli Ilham

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika menangkap ikan di 119 batu nautika dari Kuala Kemaman semalam dengan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Selain itu, APMM turut menahan dua tekong bot bersama 23 awak-awak berusia 15 hingga 43 tahun dalam operasi kira-kira 8 pagi.

Pengarah Maritim Pengkalan Kemaman Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, dua bot yang menggunakan plat tempatan ditahan ketika menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding.

Katanya, sebaik melihat kapal APMM, krew bot terbabit bertindak memotong pukat dan melarikan diri namun berjaya dipintas sebelum semuanya berjaya ditahan.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki sebarang permit menangkap ikan yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Malah, mereka juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sebelum dibawa ke Pengkalan Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

"Kita turut merampas ikan baja seberat satu tan, pelbagai jenis ikan seberat satu tan dan 115 kilogram sotong kering serta dua bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim Kemaman hari ini.

Menurutnya, sebanyak 18 tangkapan membabitkan 31 bot nelayan asing dan tempatan ditahan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini hingga Ogos ini.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 7:19pm
d