mutakhir

720 pegawai, anggota tentera sertai larian

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 720 peserta terdiri daripada 60 pegawai dan 660 anggota Tentera Darat Briged Keenam Infantri Malaysia sertai Larian Merdeka Tentera Darat laluan utara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Larian sejauh 264 kilometer dengan membawa 59 Jalur Gemilang bermula di Dataran Darul Qiyyam Mall itu dilepaskan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Datuk Azizan Md Delin pada 9.30 pagi.

Azizan berkata, peserta larian akan melalui beberapa daerah iaitu Pendang, Kepala Batas, Parit Buntar dan bakal berakhir di Taiping, Perak pada 22 Ogos nanti.

"Larian Merdeka TD bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan tentera.

"Bermula dari Bukit Kayu Hitam, seramai 60 peserta akan berlari dengan membawa 59 bendera Malaysia dan peserta akan berlari silih berganti di setiap daerah sehingga ke Taiping untuk melengkapkan 60 bendera di sana," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, melalui larian itu, rakyat dapat mengetahui bahawa pihak keselamatan komited dalam menjayakan aktiviti sempena bulan kemerdekaan dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pihak tentera.

Turut hadir, Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Jaafar.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 8:02pm
d