mutakhir

Elak dengar berita palsu

Oleh Mohd Nasif Badruddin

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat tahun depan melepasi pertumbuhan ekonomi kini.

Justeru katanya, masyarakat perlu mengelak mendengar berita palsu mengenai ekonomi Malaysia yang kononnya merudum.

"Laporan terbaharu Bank Dunia menjawab dakwaan dan tohmahan pihak terbabit.

"Ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat dan kita berada pada kedudukan kukuh," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) ke-63 di Petaling Jaya, malam ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan serta Presiden MBAM Foo Chek Lee.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berharap organisasi seperti MBAM berada di barisan hadapan dalam industri pembinaan negara dan terus berkembang hingga mencapai industri kelas dunia.

Menurutnya, beliau amat berbangga sehingga Mac lalu, kontraktor Malaysia memperoleh projek bernilai RM18.5 bilion di India,

RM16.6 bilion dalam kalangan negara ASEAN dan RM12.4 bilion di Arab Saudi.

"Ini adalah bukti keupayaan dan pengalaman kontraktor Malaysia yang mampu memperoleh projek di peringkat antarabangsa yang turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 10:50pm
d