mutakhir

Kandang mat gian

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Jadikan kawasan berhampiran kandang kambing sebagai ‘markas’ mendapatkan bekalan dan menagih dadah beramai-ramai.

Kegiatan itu dilakukan golongan penagih tegar seawal jam 5 pagi setiap hari berhampiran Kampung Puah, Setapak di sini.

Aktiviti penagihan membabitkan puluhan penagih ibu kota itu dibongkar apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sentul melakukan operasi besar-besaran awal pagi semalam.

Operasi yang bermula jam 5 jam pagi itu diketuai, Ketua Pegawai AADK Daerah Sentul, Muhammad Farid Mohd Zaki dilakukan hasil risikan sejak dua minggu lalu.

Hasilnya pihak AADK berjaya menahan 30 penagih termasuk empat wanita yang turut menjadikan kawasan semak berhampiran kandang kambing itu sebagai ‘sarang’ penagihan.

Semua individu yang ditahan berusia 20 hingga 60 tahun.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zolkifli Mohd Dom berkata, pihak terpaksa bergelut dengan tiga penagih yang cuba meloloskan diri.

“Seorang daripada mereka adalah ‘tokan’ dan terdapat seorang lelaki menyembunyikan dirinya di dalam kandang kambing,” katanya.

Menurutnya, pasangan suami isteri bersama kanak-kanak berusia setahun turut ditahan pihak AADK ketika memasuki kawasan itu ada jam 9.30 pagi semalam.

“Wanita berusia 20-an itu memberikan alasan dia datang menemani suaminya untuk mengambil bekalan dadah dan tidak mengaku turut menghisap dadah.

“Malah, dia cuba menagih simpati dibebaskan dengan menggunakan alasan anaknya masih kecil,” katanya

Zolkifli berkata, ada di antara penagih turut mencampakkan dadah jenis heroin ke kawasan semak apabila menyedari anggota AADK menyerbu kawasan itu.

“Sebanyak 10 peket heroin seberat 50 gram ditemui ketika serbuan.

“Anggota AADK turut menjumpai alatan ‘dapur’ di lokasi untuk mereka menghisap dadah,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 6:35am
d