mutakhir

Gagal guna bot tunda

Oleh HM Digital

Klang: Sebuah kapal yang membawa pasir ke Jeti Sritama, Pulau Carey, Kuala Langat tanpa menggunakan bot tunda ditahan penguat kuasa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari kelmarin, kapal itu ditahan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di perairan Sungai Langat ketika APMM melakukan rondaan rutin.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 4, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, pemeriksaan awal terhadap kapal itu mendapati ia dikawal seorang nakhoda warga Malaysia serta enam kru warga China berusia 33 hingga 51 tahun.

“Kami dapati kapal yang membawa pasir laut itu dipercayai hendak dipunggah di Jeti Sritama,” katanya.

Menurut Abu Zaki, kapal berkenaan kemudian diiringi ke Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 berikutan melanggar syarat dengan memasuki Sungai Langat tanpa menggunakan bot tunda seperti ditetapkan Ketua Pengarah Jabatan Laut.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 6:55am
d