mutakhir

Minyak kapal berlaga tumpah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Dua kapal dagang berlanggar kira-kira 3.2 batu nautika di Timur Laut Tompok Utara dekat Teluk Ramunia, Pengerang, kelmarin menyebabkan tumpahan minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dua kapal itu, Chemroad Mega dan Sinica Graeca dikesan terbabit dalam pelanggaran itu pada jam 10.30 malam.

“KD Pendekar menerima maklumat melalui Channel 16 bahawa dua kapal itu berlanggar di lokasi berkenaan dan kini kedua-duanya bersauh di posisi tujuh batu nautika Tenggara Tompok Utara.

“Dalam pelanggaran ini, kami dimaklumkan tiada kemalangan jiwa berlaku, namun tahap kerosakan belum dapat ditafsirkan.

“Ejen kedua-dua kapal sudah dipanggil untuk ke lokasi bersauh bagi memeriksa kerosakan kapal masing-masing,” katanya.

Chemroad Mega adalah kapal tangki minyak atau kimia yang didaftarkan di Panama dan dibina pada tahun 2000, manakala Sinica Graeca yang juga kapal mengangkut barangan pukal itu dibina tahun 2015 dan didaftarkan di Marshall Islands.

Ayub berkata, KD Pendekar kini berapung di Barat IDM Singapura kira-kira 1.7 batu nautika Barat Daya Tompok Utara dan diarah ke posisi pelanggaran untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga sudah mengarahkan pemilik kapal untuk meletakkan bon jaminan RM5 juta bagi kedua-dua kapal itu.

“Kapal ini ditahan sehingga bon diserahkan dan tindakan segera akan diambil untuk kerja pembersihan tumpahan minyak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, kerja pembersihan tumpahan minyak sudah dijalankan bagi mengelakkan ia merebak ke negeri berhampiran.

“Kami jangkakan ia boleh merebak ke Pahang jika mengikut arus laut dan keadaan cuaca.

“Oleh kerana itu, kerja pembersihan sudah dijalankan segera oleh agensi terbabit untuk membendung minyak ini merebak,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 7:06am
d