mutakhir

Sate 25sen

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kubang Pasu: Sukar dipercayai masih ada peniaga sanggup menjual sate ayam semurah 25 sen secucuk pada masa kini sedangkan kebanyakan peniaga lain menjualnya dengan harga 50 sen hingga RM1.

Peniaga terbabit, Norliza Ali, 38, berkata, dia menjalankan perniagaan sambil menerapkan amalan bersedekah dan membantu pelanggan kerana masyarakat hari ini terhimpit dengan kos hidup yang semakin meningkat.

“Sebenarnya, pada harga 25 sen ini saya masih untung walaupun tidak besar. Ini kerana yang penting pelanggan tidak terbeban dan semestinya saya tidak berkompromi soal rasa dan kualiti sate.

“Sebelum ini, sate dijual dengan harga 50 sen secucuk dan pada Syawal lalu, saya mula memperkenalkan sate mentah pada harga 25 sen untuk tempahan jamuan hari raya. Alhamdulillah, sambutan diterima begitu menggalakkan,” katanya di gerainya, Sate Ali di Kampung Seberang, Jitra, semalam.

Menurut Norliza, dia mula menjual sate siap dibakar di gerainya pada harga 25 sen dan mampu menjualnya sehingga 2,000 cucuk sehari dan mencecah 3,000 cucuk pada hari minggu.

“Resipi sate saya pelajari daripada Allahyarham bapa, Mat Ali Itam yang mula berniaga sejak 1960 dan terkenal sekitar Jitra dulu.

“Saya mengambil alih perniagaannya seawal usia 17 tahun apabila ibu bapa meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia sering menerima jemputan untuk mengajar bakal peniaga daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MUDA).

Sambil dibantu suami, Zahibul Asfar, 34, dan dua pekerja, gerai Norliza dibuka pada jam 5 petang hingga 10 malam setiap hari dan ditutup setiap Ahad.

Selain sate ayam, gerainya turut menyediakan sate daging pada harga 35 sen dan menu lain seperti mi hailam dan nasi goreng hailam.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 7:37am
d