mutakhir

Tak serik-serik

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan 54 kanak-kanak dan remaja termasuk dua yang berusia bawah enam tahun selepas dikesan menunggang basikal yang diubah suai (basikal lajak) dalam satu operasi di Dataran Cahaya Kulai, Johor, semalam.

Dalam operasi antara 5 petang hingga 8 malam itu, 60 basikal lajak turut dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi dijalankan dua pegawai dan tujuh anggota polis itu memeriksa 72 basikal iaitu 60 basikal lajak dan 12 lain-lain jenis basikal.

"Seramai 66 individu diperiksa, manakala enam lagi dipercayai lari meninggalkan basikal mereka dan gagal dikesan.

"Kita mengeluarkan 54 saman Pol 257 terhadap 54 individu selepas mendapati terdapat 54 basikal lajak yang dikesan tidak mempunyai brek atau loceng.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga murid sekolah rendah, 48 pelajar sekolah menengah, seorang pelajar kolej dan dua yang tidak bersekolah berusia di bawah enam tahun," katanya.

Beliau berkata, semua ibu bapa dan penjaga kanak-kanak serta remaja yang ditahan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk mengambil anak mereka dan diberikan sesi kaunseling.

 

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 7:42am
d