mutakhir

Curi seluar dalam

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Mereka ini gila kerana bukan saja sanggup melarikan anak saya, tetapi turut mencuri seluar dalam isteri,” kata Fazil Abdullah, 35, menceritakan motif tiga lelaki berusia 17, 18, dan 21 tahun melarikan anak perempuannya, Faralysa Amani, 9, di kuarters Politeknik Port Dickson (PPD), di sini, Isnin lalu.

Fazil berkata, isterinya, Nur Asyikeen Ramli, 33, adalah Penyelia Asrama PPD dan sering mengambil tindakan terhadap dua suspek berusia 18 tahun dan 21 tahun yang merokok dalam asrama.

“Disebabkan itu mereka berdendam, malah mengajak seorang rakan lelaki berusia 17 tahun mengenakan keluarga kami,” katanya.

Menurut Fazil, dua daripada tiga suspek penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan dan tinggal di asrama berhampiran kuarters didiami keluarganya.

“Bermula awal tahun, isteri sering kehilangan seluar serta baju dalam dan dipercayai dicuri penuntut terbabit. Sejak dua bulan lalu kediaman, kami dipecah masuk selain pakaian disidai di ampaian juga hilang,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri tidak membuat laporan polis berikutan tiada bukti untuk menuduh mereka.

Katanya, selang beberapa hari kemudian, pakaian dilarikan dipulangkan sebaik ia disidai semula di ampaian.

“Saya percaya mereka mahu membalas dendam berikutan isteri menegur tabiat merokok dalam asrama. Saya tidak menyangka kejadian itu mencapai kemuncak sebaik Faralysa dilarikan, Isnin lalu dan ia cukup mendebarkan,” katanya.

Katanya, Nur Asyikeen kini dalam keadaan trauma dan mahu melepaskan jawatan penyelia asrama disandangnya sejak tujuh tahun lalu.

“Sudah tujuh tahun kami tinggal di sini dan ia pengalaman yang cukup pahit. Isteri tidak akan menjadi warden lagi dan kami memutuskan menetap di rumah ibu di Telok Kemang, di sini,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 7:52am
d