mutakhir

Beruntung orang Langkawi

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 1,000 unit kediaman iaitu di Kuah dan Ulu Melaka, di Langkawi, hari ini.

Projek dengan nilai RM247 juta itu kini diperingkat pelaksanaan dengan kontraktor sudah dilantik untuk memulakan kerja dan dijangka siap pada 2019.

Najib berkata, projek perumahan itu adalah bukti bertapa kerajaan prihatin dan mendengar denyut nadi masyarakat yang memerlukan kediaman di kawasan terbabit.

"Sebenarnya dua projek PPR di Langkawi tiada dalam bajet kerajaan.

“Namun oleh kerana rayuan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan disokong ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid serta ADUN Kuah, Nor Sidi Nanyan, saya luluskan dua projek ini, selepas berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

"Projek PPR Ulu Melaka meliputi dua blok manakala di Kuah, tiga blok dan masing-masing setinggi 11 tingkat," katanya ketika berucap Majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pelancaran Perumahan PPR dan Jet Nelayan Chenang di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Najib menegaskan beliau mengambil berat masa depan Langkawi dan komited untuk terus melaksanakan pembangunan di pulau lagenda itu selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memerintah.

Beliau berkata, Langkawi akan dibangunkan sebagai Pulau bertaraf dunia yang maju serta boleh dibanggakan bukan saja penduduk Langkawi malah seluruh negara.

"Hari ini juga saya melancarkan Projek Jeti Nelayan Chenang bernilai RM9.16 juta yang saya luluskan sebelum ini dan bakal memberi manfaat kepada 400 nelayan.

“Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) sudah melawat jeti ini.

“Purata pendapatan nelayan antara RM2,000 hingga RM3,000 dan kita tambah lagi RM300 untuk membantu mereka," katanya

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, status pulau bebas cukai dinikmati Langkawi ketika ini akan terus kekal selagi BN memerintah dan meminta rakyat di pulau itu terus yakin dengan kerajaan yang ada.

“Pelbagai pembangunan akan kita bawa termasuk projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bernilai RM89 juta.

“Malah, saya bakal lancarkan penerbangan terus AirAsia dari Langkawi ke Shenzhen, China yang akan meningkatkan kehadiran pelancong asing.

"Saya juga menyarankan semua teksi di pulau ini beralih kepada perkhidmatan teksi Uber dan Grabcar dengan subsidi RM5,000 bagi setiap pembelian kereta," katanya.

Pada majlis sama Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM5juta untuk menaik taraf jalan kampung di seluruh Langkawi.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 2:19pm
d