mutakhir

Menyelam bersama Jalur Gemilang

Oleh Baharom Bakar

SERAMAI 30 penyelam mencipta sejarah apabila menyelam bersama Jalur Gemilang di perairan Pulau Bidong, dekat Kuala Nerus, hari ini, tanpa bantuan alat bekalan oksigen sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Pada program anjuran Persatuan Selaman Bebas Terengganu (PSBT) itu, Jalur Gemilang bersaiz 18 meter panjang dan enam meter lebar diturunkan ke dasar laut sedalam kira-kira 12 meter oleh 30 penyelam bebas dari Terengganu, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur secara bergilir dalam tempoh 30 minit.

Pengerusi program, Raja Faisal Raja Harun berkata, Jalur Gemilang itu diturunkan di dua lokasi berhampiran Galeri Air perairan Pulau Bidong pada 1.30 petang.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Unit Korporat) berkata, 10 penyelam skuba turut mengiringi kumpulan 30 penyelam itu sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Ia sesuatu yang unik kerana penyelam tidak menggunakan bantuan alat bekalan oksigen, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran mengawal dan menahan pernafasan sepanjang berada di dasar laut.

"Peserta juga teruja dapat melihat kerangka sebuah bas dan jentolak yang ditumbuhi terumbu karang di dasar laut Pulau Bidong," katanya ketika ditemui hari ini.

Majlis perasmian 'Terengganu Merdeka Free Dive Sempena Pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa 2017 Peringkat Negeri' itu dirasmikan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalal di Pantai Tok Jembal, hari ini.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 8:06pm
d