mutakhir

MPB menang besar

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad (MPB) menang anugerah utama, Pemilik Media Terbaik di majlis Anugerah Spark 2017, berlangsung di InterContinental Singapura, hari ini.

Pengiktirafan itu diberikan berikutan kejayaan besar diraih anak syarikat di bawah MPB, Rangkaian Televisyen Media Prima.

Majlis anugerah itu mengiktiraf sumbangan penggiat media serantau dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan dinilai keberkesanannya dari sudut inovasi dan kebaikan diperoleh pengiklan, agensi dan pelanggan.

Rangkaian Televisyen Media Prima yang merangkul anugerah utama dalam kategori Persembahan Rancangan Terbaik, menang lima anugerah emas bagi kategori Penyelesaian Media Terbaik- TV/Dalam Talian, Penyelesaian Terbaik Media - Media Sosial, Penyelesaian Media Terbaik - Media Bersepadu, Kolaborasi Terbaik - Pemilik Media dan Agensi dan Pasukan Kreatif Terbaik.

Ini kali keempat majlis yang dianjurkan untuk menilai kejayaan kolaborasi antara jenama terkenal dunia pengeluar telefon bimbit, Samsung dan makanan segera, McDonalds.

Kejayaan diraih menerusi Penyelesaian Media Terbaik - Media Bersepadu, berikutan kejayaan kempen Galaxy J7 Prime bersama Park Bogum, yang membolehkan jumlah jualan jenama terbabit meningkat 250 peratus.

Kemenangan bagi kategori Penyelesaian Terbaik Media - Media Sosial diperoleh Media Prima atas kempen yang dilaksanakan bersama McDonalds dengan mempromosikan Hari Sarapan Kebangsaan, dengan tujuan menyedarkan umum kepentingan memulakan hari dengan bersarapan.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 8:15pm
d