mutakhir

Trak polis bawa OKT terbabit kemalangan

Oleh Azahar Hashim

SEORANG anggota polis berusia 48 tahun patah paha kiri apabila trak yang membawa 14 orang kena tuduh (OKT) terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sidam Kanan berhampiran Kampung Jambu, Padang Serai, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 11.33 pagi itu turut cedera dan dimasuk ke wad ialah tiga OKT masing-masing patah tulang pinggul kanan, patah tulang kaki kanan dan cedera di dada.

Difahamkan kemalangan membabitkan sebuah trak polis membawa 21 orang termasuk tujuh anggota pengiring dan pemandu Perodua Myvi berusia 36 tahun.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Jabatan Kecemasan Hospital Kulim (HK) memberi rawatan kecemasan bagi kes kemalangan terbabit.

Katanya, 21 mangsa terbabit iaitu 14 OKT iaitu 10 wanita dan empat lelaki serta tujuh anggota polis pengiring.

"10 OKT wanita adalah warga Thailand yang terbabit kesalahan imigresen sementara empat lelaki berkaitan pelbagai kesalahan jenayah.

"Sejurus menerima maklumat kemalangan, pihak HK bergegas ke tempat kejadian bersama tiga ambulans serta sembilan paramedik serta dibantu anggota bomba.

"Pemeriksaan dan rawatan kecemasan sewajarnya diberikan di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kulim," katanya.

Dr Norhizan berkata, dua mangsa dirawat di zon merah, tujuh di zon kuning dan 12 di zon hijau.

Katanya, empat OKT wanita dimasukkan ke wad iaitu seorang patah tulang pinggul kanan, seorang cedera dalaman abdomen (kecederaan pada hati), seorang patah kaki kanan dan seorang cedera di kepala.

"Secara keseluruhan lapan mangsa dimasukkan ke wad iaitu tujuh OKT dan seorang anggota polis manakala baki 12 mangsa iaitu tiga OKT wanita dan tiga lelaki serta enam anggota polis dibenarkan pulang selepas rawatan.

"Seorang lagi OKT wanita dirawat di wad pemerhatian di jabatan kecemasan dan semua pesakit yang dirawat sama ada dimasukkan ke wad atau dibenarkan pulang dalam keadaan stabil," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 10:18pm
d