mutakhir

Nak keluar cara haram

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SERAMAI 24 warga Indonesia ditahan ketika cuba menyusup keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan di perairan Tawau, petang hari ini.

Semua PATI membabitkan lapan lelaki dan lima wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan serta bayi lelaki berusia 10 bulan ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan jam 2.15 petang.

Pengarah APMM Daerah Tawau Kepten Maritim Romli Mustafa berkata, ketika bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab menahan sebuah bot penumpang berdaftar mencurigakan.

"Ketika itu, bot penumpang berkenaan disyaki menuju ke perairan Sungai Haji Kuning dari Tawau.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan warga Indonesia dan 23 penumpang yang juga warga Indonesia.

"Juragan dan dua penumpang yang diperiksa memiliki dokumen pengenalan diri namun tiada mempunyai cop keluar dan masuk daripada Jabatan Imigresen Malaysia manakala selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Romli berkata, selain itu juragan turut melakukan kesalahan membawa penumpang tanpa memakai jaket keselamatan dan membawa penumpang mengikut perairan yang tidak dibenarkan.

"Semua PATI berusia 54 tahun hingga 10 bulan ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migren 2017 (ATIPSOM.

"APMM akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membenteras aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan Tawau," katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 12:29am
d