mutakhir

Gangguan bekalan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui wujud gangguan bekalan bagi beberapa jenis ubat di hospital kerajaan namun tindakan secara pemantauan lebih dekat diambil termasuk mengenal pasti sumber bekalan alternatif bagi ubat-ubatan berkaitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati insiden gangguan bekalan bagi beberapa jenis ubat disebabkan masalah pengilangan dihadapi syarikat pengeluar.

Katanya, ada juga peningkatan bilangan pesakit yang datang ke fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara termasuk hospital kerajaan dan klinik kesihatan pada tahun ini.

“Kami menyediakan peruntukan kewangan tambahan untuk pembelian ubat-ubatan, malah ia sudah diagihkan kepada hospital bagi memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi dan tidak membebankan pesakit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, peruntukan ubat-ubatan bagi 2017 disalurkan kepada semua hospital berdasarkan jumlah perbelanjaan pada 2016.

Dr Noor Hisham berkata, polisi pembekalan ubat-ubatan di fasiliti KKM untuk tempoh sebulan dilaksanakan sejak 2016 untuk memastikan kefahaman serta kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan yang diberi selain mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, ketika sesi temujanji untuk mendapatkan ubat-ubatan itu, pegawai Unit Farmasi boleh memberikan nasihat dan maklumat kepada pesakit mengenai ubat yang diberi.

“Bagi pesakit yang menerima bekalan ubat separa, beberapa perkhidmatan tambah nilai sudah disediakan untuk memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 5:04am
d