mutakhir

Keputusan siasatan dalaman FGV hujung bulan ini

Oleh Nursyahirah Marzuki

PROSIDING siasatan dalaman Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berkaitan isu hutang tertunggak Safitex Trading LLC dijangka dapat dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

Pengerusi FGV Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, siasatan dalaman itu akan diteruskan pada 24 dan 25 Ogos ini dengan memanggil pegawai tertinggi yang terbabit.

"Kesemua individu yang dipanggil memberikan kerjasama baik malah, tiga individu pertama sudah memberikan keterangan kepada ahli panel namun, hanya tinggal seorang lagi yang belum selesai.

"Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara ini dijangka akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini," katanya pada sidang medua selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji Felda Travel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Hadir sama pegawai yang bertanggungjawab untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Sulaiman berkata, selepas siasatan selesai, ahli lembaga pengarah berhak untuk menentukan tindakan selanjutnya kerana ia membabitkan urusan dalaman FGV.

"Keputusan hanya dibuat selepas hasil siasatan diterima dan lembaga pengarah akan tentukan kedudukan mereka. Sekiranya tiada kesalahan dan individu terbabit tidak bersalah, maka tiada lah dan sebaliknya.

"Proses yang berjalan ketika ini adalah satu mekanisme terbaik dalam pelaksanaan tadbir urus yang adil dan dilakukan secara professional," katanya.

Pada Jun lalu, empat individu penting FGV termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung tunggakan hutang yang diberikan kepada syarikat Safitex yang didakwa melanggar peraturan FGV.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 4:10pm
d