mutakhir

Rampas penyedut minuman diisi dadah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

POLIS tahan empat lelaki Indonesia dan rampas syabu dianggarkan bernilai RM3,000 di Kilometer 138 Jalan Bintulu-Miri, berhampiran Samalaju di Bintulu, semalam.

Suspek berusia antara 19 hingga 33 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan polis menemui 25 penyedut minuman yang diisi dadah syabu.

Menurutnya, suspek dipercayai menjual dadah berkenaan kepada pekerja ladang kelapa sawit sekitar Bintulu.

Katanya, suspek mengakui masuk ke negara ini sejak setahun lalu dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai mata pencarian.

"Suspek akan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit dan menjual dadah kepada pekerja ladang.

"Bahan terlarang itu dibeli daripada individu lain selepas duit dimasukkan ke dalam akaun tanpa perlu bersemuka manakala dadah akan diletakkan di lokasi tertentu untuk diambil," katanya ketika dihubungi.

Zailani berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 4:24pm
d