mutakhir

Ajal selepas daki Gunung Nuang

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI berusia 35 tahun meninggal dunia selepas mendaki Gunung Nuang, Hulu Langat bersama tujuh rakannya kira-kira 3 petang, hari ini.

Mangsa, Aw Kok Cheng dipercayai mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 6 pagi semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengahari semalam.

Menurutnya, seramai 32 anggota bomba ke lokasi kejadian sebelum sembilan daripadanya mula mendaki gunung berkenaan pada 3 petang semalam.

"Pada 1.29 pagi kumpulan penyelamat berkenaan tiba di puncak dan mendapati mangsa pengsan dan tujuh yang lain dalam keadaan selamat.

"Kira-kira 7 pagi, pasukan penyelamat membawa turun mangsa dan tiba di kaki gunung berkenaan pada petang,"katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan dan disahkan sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,"katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 6:42pm
d