mutakhir

Isteri maut, suami cedera

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

WANITA maut manakala sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 24 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran Ladang Geddes, hari ini.

Mangsa Nordiana Nordin, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 30-an yang juga pemandu pacuan empat roda Nissan Navara cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton dari arah Keratong dipercayai merempuh kenderaan mangsa dari arah belakang.

"Kenderaan mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh dua lagi kereta sebelum terjunam ke dalam parit.

"Kemalangan itu menyebabkan lapan yang lain iaitu pemandu dan penumpang tiga kenderaan berkenaan cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 8:12pm
d