mutakhir

NHL RM26 juta dibuka

Oleh Hamzah Osman

HOTEL tiga bintang, Nadias Hotel Langkawi (NHL) secara rasmi dibuka di Pantai Chenang, Langkawi hari ini.

Dimiliki oleh Tadmax Sdn Bhd (Tadmax), hotel setinggi empat tingkat berharga RM26 juta itu menjadi ikon baharu di pulau ini apabila berada di lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menawarkan keseluruhan 136 bilik, hotel dibangunkan dalam tempoh empat tahun atas tanah seluas 1.2 hektar itu diyakini mampu memberikan pulangan berbaloi kepada Tadmax.

Pengarah Urusan NHL, Datuk Aldillan Anuar Adam berkata, hotel itu menawarkan empat jenis bilik iaitu Deluxe King, Quad, Family dan Junior Suite yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden.

"Hotel berkonsepkan 'antarabangsa' ini menampilkan imej, gaya dan reka bentuk ruang dalaman dan luarannya yang menarik, selain bilik mesyuarat yang mampu memuatkan 200 orang pada satu masa," katanya.

Hotel yang turut mempunyai sebuah kolam renang dan jacuzzi itu menawarkan bilik serendah RM200 dan tempahan boleh dilakukan secara talian terus dalam laman sesawang www.nadiashotel.com.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 8:33pm
d