mutakhir

Ajal dihempap lori

Oleh Rosliza Mohamed

PENUNGGANG motosikal maut selepas dihempap lori, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Padang Mokkan, Peringat, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang, lelaki berusia 20-an itu meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Kemalangan berlaku apabila lori dari arah Peringat menghala ke Gunung, Bachok, manakala kereta dan motosikal dari arah bertentangan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori mauatan barangan runcit dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta sebelum terbalik dan menghempap mangsa.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Bharu, Asisten Superintendan Hamizon Che Harun berkata, mangsa meninggal dunia sebaik sampai di hospital, manakala dua mangsa cedera ringan.

"Mereka yang cedera ringan mendapat rawatan di hospital yang sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh Azmi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.18 petang.

"Ketika sampai, mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital dengan ambulans," katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 8:51pm
d