mutakhir

Insiden tiga dekad

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis pada 19 November 1985.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RCI hanya ditubuhkan jika ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk parti pembangkang.

Katanya, RCI itu bagi membolehkan gambaran sebenar diperoleh bagi memberikan keadilan kepada semua pihak terutamanya mangsa.

“Biarpun permintaan daripada parti berbeza pegangan tetapi undang-undang mesti ditegakkan dan siasatan mesti dilakukan dan orang yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Perbandaran Taiping, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Husin Syed Abu Fasal.

Isu Memali timbul semula selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan enggan menjawab soalan mengenaikanya dalam forum sehingga menimbulkan kekecohan.

Berikutan itu, PAS menggesa kerajaan memohon maaf dan menubuhkan RCI kerana mendakwa kertas putih yang dikeluarkan di Parlimen sebelum ini dikatakan tidak memberi gambaran sebenar kejadian itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau ada membaca dengan teliti buku Frankly Speaking tulisan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mengenai peristiwa Memali.

Katanya, Musa menyatakan beliau diberi maklumat salah mengenai situasi di lokasi kejadian iaitu ada unsur keganasan dan militan sebelum arahan dikeluarkan supaya pasukan keselamatan bertindak.

“Ini peringatan buat kita, apabila ada kuasa jangan menzalimi sesiapa, jangan salahguna undang-undang, jika dulu kita durian, apabila sudah jadi tempoyak, maka penyesalan sudah tiada ertinya. Fahami doa orang yang teraniaya, tiada hijab dengan Allah,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina dewan serbaguna, bantuan sekolah agama rakyat (RM1 juta) serta geran bantuan pelajar sekolah (RM128,300) di Bukit Gantang.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:36am
d