mutakhir

Tak ambil mudah isu keselamatan negara

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Isu keselamatan dan pertahanan negara tidak boleh diambil mudah semua pihak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain untuk mengawal sempadan negara.

Menurutnya, kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilakukan bagi menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman militan, jenayah rentas sempadan dan pengaruh luar.

“Kita perlu melihat kepada ancaman militan di Marawi, Filipina yang memberi makna bahawa jangan ambil mudah isu pertahanan di rantau ini. Kumpulan militan terbabit cuba untuk bertapak dan memperluaskan pengaruhnya.

“Dalam keadaan perpecahan, ketidaksefahaman dari segi agama dan kaum akan diambil kesempatan serta dieksploitasi pihak berkenaan (militan). Itu kita (kerajaan) tidak akan benarkan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, semalam.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, beliau lega dan berpuas hati apabila pembukaan Sukan SEA edisi ke-29 berlangsung meriah tanpa sebarang ancaman.

Katanya, meskipun jumlah keanggotaan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kecil namun mereka bekerjasama rapat dalam memastikan tahap keselamatan dalam keadaan terbaik.

Pada majlis pembukaan rasmi malam kelmarin, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi saksi apabila segenap pelosok rakyat berbilang kaum hadir memberi sokongan kepada kontinjen negara.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:41am
d