mutakhir

Bakti untuk ibu

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kelana Jaya: “Ini peluang untuk saya berbakti kepada ibu memandangkan arwah ayah sudah tiada untuk menemani ibu ke Tanah Suci,” kata Ahmad Nazri Mohd Yusof, 51.

Ahmad Nazri antara 278 jemaah haji yang berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanah Suci, jam 6 pagi, semalam.

Beliau yang menetap di Kemaman, Terengganu berkata, disebabkan keadaan ibunya, Che Zainon Abdullah, 76, yang uzur, dia diberi peluang mengiringi ibunya menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

“Saya bersyukur rayuan dua kali menunaikan haji dimakbulkan Allah demi menunaikan hasrat menemani ibu yang uzur.

“Sebaik tiba di sana nanti, saya akan membantu segala urusan ibu termasuk makan dan pakaiannya supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, ibunya mendaftar haji pada 2008 menggunakan duit pencen sebagai pesara guru.

“Sebaik ibu menerima panggilan menunaikan haji tahun ini, TH memberi peluang kepada saya menjadi pengiring,” katanya.

Dia yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, setibanya di Tanah Suci nanti, dia akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya di samping memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan daripada Allah.

“Diberi peluang menunaikan haji dan menjadi pengiring kepada ibu satu pemberian yang istimewa kerana inilah masanya untuk berbakti kepada ibu,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:58am
d