mutakhir

41 pegawai polis dari 26 negara sertai Program Kepolisan Komuniti

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Seramai 41 pegawai polis dari 26 negara termasuk Malaysia didedahkan kepada Program Kepolisan Komuniti di Inap Desa Kota Aur, Penaga, dekat sini, bagi meningkatkan hubungan antara pasukan keselamatan dengan masyarakat setempat, semalam.

Program di Kota Aur adalah sebahagian daripada acara disertai pegawai polis terbabit yang sedang mengikuti Kursus Perintah Tinggi Peringkat Antarabangsa ke-43 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur bermula 7 hingga 26 Ogos ini.

Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan yang juga Timbalan Komandan Maktab PDRM Senior Asisten Komisioner Dr Mustafa Khan Abdul Samat berkata, selain pegawai polis negara ini, turut menyertai program berkenaan ialah pegawai polis berpangkat tinggi dari benua Eropah, Asia, Afrika, Australia selain New Zealand dan Switzerland.

Katanya, selain membincangkan hal berkaitan jenayah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan, pegawai polis terbabit turut didedahkan kepada Program Kepolisan Komuniti yang diamalkan di negara ini.

“Setiap negara mempunyai pendekatan berbeza dalam usaha mengeratkan kerjasama antara polis dengan masyarakat.

“Hari ini (semalam) pegawai polis dari serata dunia dibawa ke Kota Aur bagi membolehkan mereka melihat sendiri Program Kepolisian Komuniti di negara ini sesuai dengan moto ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya di sini, semalam.

Sempena program itu, pegawai polis terbabit diajar cara kukur kelapa, bermain congkak, membuat kuih tradisional selain disajikan dengan persembahan silat dan cingay.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 9:03am
d