mutakhir

Pemandu bas mengaku curi jam tangan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMANDU bas dihukum penjara selama empat hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan mencuri jam tangan milik Pegawai Pasukan Bola Sepak Wanita Malaysia sempena Sukan SEA 2017 di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memutuskan demikian selepas tertuduh, Muhammad Izuan Ayub, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang berbaju T dan kelihatan sugul turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Izuan didakwa mencuri jam bernilai RM600 milik Norzazarina Omar, 40.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan UiTM, Stadium UiTM, Seksyen 1 di Shah Alam, antara 8 malam hingga 9 malam, 17 Ogos lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan kehilangan jam itu kepada seorang individu yang melihat tertuduh sebagai pemandu bas pasukan Myanmar memasuki bas pasukan Malaysia dan memakai jam berkenaan.

Mangsa kemudian bertanyakan kepada tertuduh yang kemudian mengaku mengambil jam terbabit namun mendakwa meletakkannya semula di lokasi terdahulu (bas Malaysia).

Bagaimanapun, jam itu tidak ditemui dan diserahkan oleh individu lain. Tertuduh kemudian ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya.

Siti Shakirah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat hari bermula tarikh tangkapan dan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda RM2,500.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemandu bas ditahan reman selepas dipercayai mencuri jam tangan milik Pegawai Pasukan Bola Sepak Wanita Malaysia di dalam bas yang membawa pemain Malaysia ke Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam.

Sebelum kejadian itu, mangsa tidak sengaja meninggalkan jam tangan di dalam bas dinaikinya.

Sebaik mangsa menyedari jam tangannya hilang, dia cuba mencari di dalam bas namun tidak menjumpai jam itu dan laporan polis kemudian dibuat wanita itu pada 10 malam hari kejadian.

Berita berkaitan:

Pemandu bas ditahan curi jam tangan

CAPTION

MUHAMMAD IZUAN dibawa keluar polis dari mahkamah. PIX Intan Nur Elliana Zakaria

TAMAT

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 1:44pm
d