mutakhir

Cedera van jenazah kemalangan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMANDU van jenazah dan pembantunya cedera akibat tersepit selepas van dipandu merempuh belakang lori di Persiaran Mohagani, Seksyen 10, Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 10 pagi, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.34 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Van jenazah dipandu mangsa, Naim Ramin, 68, bersama pembantunya, Zuraimi Mohamad, 48, melanggar bahagian belakang lori menyebabkan kenderaan itu melanggar kereta di hadapannya.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa dan pembantunya tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya.

Mohd Sani berkata, kedua-dua mangsa yang cedera di kaki dan kepala dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Pemandu lori serta pemandu kereta terbabit bersama tiga penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 2:36pm
d