mutakhir

Laksana bayaran VEP selepas kajian

Oleh Aizat Sharif

KUTIPAN bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) terhadap kenderaan berpendaftaran asing dari Thailand dijangka dapat dilaksanakan selepas kajian Kementerian Pengangkutan selesai.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pada peringkat ini, pihak kementerian masih lagi melakukan kajian teknikal terutama di negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan dalam melaksanakan bayaran VEP seperti yang sudah dilaksanakan di Johor Bahru.

"Buat masa ini, kita tiada satu jangka masa yang tetap bagi pelaksanaan VEP di kawasan ini tetapi apa yang boleh saya katakan adalah pada peringkat ini, pihak kementerian sedang melakukan kajian teknikal termasuklah meneliti dan menguji sistem komputer yang akan digunakan ketika pelaksanaan kutipan bayaran ini.

"Selain itu juga, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri yang terbabit dalam mencari suatu masa yang sesuai untuk pelaksanaan ini," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program 1 Komuniti 1 JPJ Daerah Kota Setar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz, Kuala Kangkong, Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, kutipan bayaran VEP yang akan dikenakan nanti mungkin sama seperti yang dilaksanakan di Johor Bahru iaitu RM20 bagi setiap kenderaan berpendaftaran asing.

"RM5 daripada hasil kutipan VEP di Johor Bahru itu kemudian diberikan kepada kerajaan negeri dan secara asasnya, pelaksanaannya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand nanti juga tetap sama.

"Namun, biarlah Kementerian Pengangkutan yang akan membuat pengumuman nanti," katanya.

Kutipan VEP yang dilaksanakan kepada kenderaan asing di pintu masuk Malaysia-Singapura di Johor Bahru dilaksanakan sejak November tahun lalu dan sehingga Julai tahun ini, kutipannya sudah mencecah RM9,106,900.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Nadzri dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyampaikan lesen memandu kelas B2 motosikal kepada 314 penduduk luar bandar kategori warga emas yang tidak pernah mempunyai lesen memandu.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 3:43pm
d