mutakhir

Misi simbolik WQH, MQH

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MEMANJAT 2,200 tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) dengan membawa senaskhah al-Quran bersama Jalur Gemilang.

Itu acara simbolik penganjuran Program World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.

Selebriti terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor yang mengetuai misi simbolik itu bersama 20 wakil media mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak Menara KL.

Rosyam berkata, misi simbolik itu mungkin satu usaha dakwah yang sangat kecil dalam mengingati pengorbanan dilakukan Nabi Muhammad SAW serta ulama terdahulu mengembangkan syiar Islam.

“Memanjat 2,200 anak tangga tidak akan sama untuk dibandingkan dengan pengorbanan oleh Rasulullah, namun cukup untuk kita mengambil pengajaran dan merasai sendiri bagaimana kesukaran golongan terdahulu.

“Saya sifatkan usaha saya serta rakan hari ini kecil dalam memartabatkan Islam dan al-Quran, saya berharap usaha kecil ini menjadi wakaf dakwah kami semua,” katanya ketika ditemui di Menara KL, hari ini.

Rosyam yang juga ikon Rumah Ngaji menyerahkan naskhah al-Quran, panji WQH dan Jalur Gemilang kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

Program WQH dan MQH akan berlangsung pada 31 Ogos ini sempena Hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah yang kebetulan disambut pada Hari Kebangsaan.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 4:24pm
d