mutakhir

Sorok minyak masak di enjin pikap

Oleh Dziyaul Afnan bin Abdul Rahman

LELAKI warga Thailand berusia 27 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 9.9 Wang Kelian-Kaki Bukit, Padang Besar kerana cuba menyeludup 100 kilogram minyak masak ke negara jiran, semalam.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, penahanan suspek pada 2.20 petang itu hasil risikan pasukan AKSEM Padang Besar dan maklumat awam.

Katanya, pemeriksaan menemui 100 kilogram minyak masak cuba diseludup suspek ke negara jiran.

"Suspek mengubah suai ruang enjin Toyota Hilux menjadi tempat simpanan barang dan menyorok lebih 80 kilogram minyak masak paket.

"Selebihnya minyak masak itu disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ruang enjin adalah tempat terkumpulnya haba dan mampu membakar bungkusan minyak masak namun suspek sanggup mengambil risiko.

“Kita percaya pengubahsuaian di enjin pikap adalah taktik terbaru dilakukan penyeludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak masak dan Toyota Hilux berkenaan ialah RM60,290.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Minyak masak berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 4:41pm
d