mutakhir

Ajal bertembung lori muatan kelapa sawit

Oleh Ramli Ibrahim

WARGA emas lelaki berusia 73 tahun maut selepas kereta Honda Accord dipandunya bertembung lori sarat muatan kelapa sawit di Kilometer 80 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang,pagi ini.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa Mohd Arif Kamshah, 73, maut di tempat kejadian akibat parah di badan.

Pemandu Lori muatan sawit, Mohd Azman Awang, 38, berasal dari Gual Ipoh, Tanah Merah, terselamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentang sebelum bertembung dengan lori itu.

"Kemalangan maut itu adalah yang kedua dalam tempoh 24 jam lalu dan yang pertama seorang penunggang motosikal maut bertembung lori di KM 28 Jalan Gua Musang-Kuala Krai," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Mohd Zawawi Yusoff berkata, dia bersama enam anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 9.42 pagi.

"Sebaik tiba mendapati mangsa tersepit ditempat duduk pemandu yang dipercayai sudah meninggal dunia.

"Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,"katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 4:46pm
d