mutakhir

Sabar dan tunggu...

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiapkan siasatan pembelian hotel di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) sebelum mengemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, selain itu, pihaknya turut mengemas kini maklumat baru mengenai kes berkenaan untuk siasatan.

"Beri masa kepada kami untuk siapkan siasatan. Pada ketika ini, saya tidak mahu dedahkannya. Jadi sabar dan tunggulah," katanya pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Luar di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya maklumat terkini berhubung siasatan isu pembelian hotel oleh FIC sehingga membabitkan penahanan beberapa individu termasuk bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad.

Semalam, Isa dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan RM150,000 berserta dua penjamin.

Beliau ditahan reman lima hari bermula 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM berhubung isu salah guna kuasa bagi pembelian hotel oleh FIC Kensington, London antara 2014 dan 2015.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 5:29pm
d