mutakhir

Cinta punya pasal, lesap RM130,800

Oleh Mohd Hasbi Sidek

POLIS menahan dua lelaki Nigeria, seorang wanita Filipina dan seorang wanita Britain masing-masing berusia antara 30 hingga 38 tahun dalam dua serbuan di Setia Alam serta Damansara semalam dan hari ini kerana disyaki terbabit dalam sindiket African Scam.

Mereka dipercayai memperdayakan seorang wanita berusia 40 tahun sehingga mengalami kerugian RM130,800.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa yang bekerja pegawai teknologi maklumat berkenalan dengan suspek sejak Februari lalu melalui Facebook.

"Suspek yang menyamar sebagai warga Amerika mula bermain cinta dengan mangsa sebelum pada April lalu seorang pegawai Interpol menghubungi mangsa mendakwa kononnya lelaki itu ditahan.

"Pegawai wanita itu memperkenalkan diri sebagai Farah meminta sejumlah wang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan lelakinya," katanya.

Beliau berkata, mangsa memindahkan wang sebanyak 38 kali ke enam akaun berbeza berjumlah RM130,800.

"Mangsa yang mengesyaki dirinya tertipu membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan empat suspek dalam dua serbuan berbeza di Setia Alam dan Damansara," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 6:36pm
d