mutakhir

Mengaku salah menyebabkan kematian tanpa niat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LIMA sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini, kerana menyebabkan kematian seorang lelaki tanpa niat.

Tertuduh, Wan Mohamad Redzuan Wan Latif, Mohd Zaimizan Ismail, Mohd Al Ambari Ahmad, Amiruldi Ramli dan Mohd Zulkifli Zainal Abidin turut berdepan hukuman penjara dua tahun lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas lima tertuduh berusia antara 25 hingga 33 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kematian Mohamad Zailani Abd Aziz, 22, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematiannya di sebuah rumah di Kampung Bujal, Air Jernih, Kemaman, antara 8.30 pagi hingga 11.15 malam pada 30 November 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pemuda maut dibelasah lima lelaki selepas dipercayai mengintai isteri kepada seorang daripada tertuduh di Kampung Bujar, Air Jernih.

Mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman akibat parah di beberapa anggota badan selain pendarahan di hidung dan telinga.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 7:18pm
d