mutakhir

Dah sampai Bukit Mertajam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PELARI solo, Nasir Abas, 62, dan rakannya, Krishnan Andy, 60, tiba di Kawasan Perindustrian Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang jam 4 petang hari ini selepas mengharungi larian kira-kira 125 kilometer dari Alor Setar, Kedah sejak Sabtu lalu.

Nasir atau Pak Nasir kini singgah di Bukit Mertajam untuk berehat selepas berjaya mengharungi sasaran 40 kilometer (km) sehari bermula dari Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 8 pagi.

Anaknya, Sazali, 33, berkata, walaupun cuaca panas sejak pagi namun bapanya dan Krishnan berjaya mengharungi cabaran itu malah tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan impian menamatkan Larian Muhibbah Merdeka sempena Sambutan Merdeka ke 60 Tahun ini.

Katanya, kedua-dua pesara tentera itu mempunyai sembilan hari lagi untuk menamatkan misi larian yang akan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti.

"Sepanjang larian, ramai peminat yang memberi sokongan malah kedua-dua mereka berlari sambil membawa Jalur Gemilang bagi membuktikan semangat mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Selain itu, ada juga peminat yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan ayah dan pakcik Krishnan setiap kali mereka berhenti rehat di mana-mana lokasi," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:27pm
d