mutakhir

Insiden kedua kapal USS berlanggar

Oleh Ibrahim Isa

KEJADIAN kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain yang berlanggar dengan kapal tangki minyak, Alnic MC berhampiran Pulau Batu Putih, hari ini, adalah kejadian kedua membabitkan kapal kategori sama dalam tempoh dua bulan.

Dalam satu kenyataan kepada Reuters, Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berkata, kejadian pertama membabitkan kapal pemusnah kategori sama, USS Fitzgerald di luar pantai Jepun apabila bertembung kapal kontena dari Filipina, 17 Jun lalu.

Menurutnya, pertembungan dua kapal besar adalah kejadian terpencil dengan kejadian terakhir ini berlaku lebih 50 tahun lalu.

Katanya, dalam kejadian 5.40 pagi tadi, 10 anak kapal USS John S McCain hilang, manakala lima yang lain cedera dengan empat daripada mereka diselamatkan menggunakan helikopter sebelum dihantar ke hospital di Singapura.

Seorang lagi hanya menerima rawatan di kapal berkenaan.

Difahamkan, USS John S McCain dalam perjalanan ke Pelabuhan Changi, Singapura, untuk pemeriksaan berjadual dari perairan Jepun. Sebelum ini ia dilaporkan singgah di Filipina.

USS Fitzgerald dan USS John S McCain dibina di pelabuhan sama dengan masing-masing adalah kategori kapal Pertahanan Peluru Berpandu Balistik (BMD) dan sebahagian daripada skuad pemusnah Armada Ketujuh Tentera Laut AS yang berpangkalan di Yokosuka, Jepun.

Kapal kategori BMD biasanya ditugaskan melakukan rondaan pada bila-bila masa dan USS John S McCain adalah sebahagian daripada kapal yang ditugaskan dalam operasi 'freedom of navigation' di Laut China Selatan dan berada hanya kira-kira 12 batu nautika daripada pulau buatan manusia yang dibina China, dalam kejadian awal bulan ini.

Berita berkaitan

Tiada tumpahan minyak

4 sektor kawasan pencarian

TLDM, APMM bantu cari kelasi

10 anak kapal USS John S McCain hilang

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:54pm
d