mutakhir

[UPDATE] Berebut teman wanita sampai berparang

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Berebut teman wanita dikenal pasti sebagai motif lelaki ditetak dengan parang di kondominium PV20, Setapak, sebelum penyerangnya ditahan ketika membawa mangsa melalui sekatan jalan raya di Jalan Reko, Kajang, 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa

yang berusia 23 tahun hendak dibawa ke Kajang bagi ‘menyelesaikan’ masalah berkenaan.

Katanya, empat suspek yang ditahan direman sehingga esok.

"Punca kejadian dipercayai akibat berebut teman wanita sebelum suspek dan mangsa membuat pertemuan di PV20.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (Kajang) menyerahkan kes untuk disiasat IPD Wangsa Maju. Suspek direman selama tiga hari bermula semalam," katanya.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai ditemui dalam kereta yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, Kajang.

Dalam sekatan jalan raya pada 11.20 malam di selekoh Jalan Reko menghala ke Metro Kajang, pasukan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan Honda Accord kelabu yang dinaiki lima lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Polis membuat pemeriksaan menyeluruh dan menemui seorang penumpang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai.

Mangsa dirawat di Zon Merah, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan keadaannya dilaporkan stabil

Berita berkaitan:

Lalu sekatan bawa lelaki perut terburai

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 9:40pm
d